Sunday, 16 February 2020

hukum lukisan manusia


“HUKUM LUKISAN MANUSIA”

Hukum melukis gambar atau kartun.

Hukum asal permasalahan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud;
Maksudnya:”Sesiapa yang melukis atau mengukir gambar sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga[jika disuruh] meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya”.
Di dalam riwayat lain menyebut yang maksudnya:”Setiap penggambar diseksa di dalam neraka,dijadikan setiap gambar yang digambarkan sebagai ruh maka ia menjadi alat penyeksanya di dalam Neraka Jahanam”.Riwayat Muslim [3945],Imam Ahmad [2671]di dalam Musnadnya.
Sejurus selepas hadis ini disebutkan Ibnu Abbas menyatakan yang maksudnya:”Jika engkau terpaksa melakukannya maka buatlah[gambar]pokok atau apa-apa yang tidak bernyawa.”
Dapat kita fahami jika lukisan itu adalah selain dari makhluk bernyawa seperti pokok,laut,gunung-ganang maka dibolehkan.Larangan yang disebutkan oleh Nabi SAW adalah menjurus kepada pembuatan patung yang mempunyai jisim dan berbayang serta menyerupai makhluk yang bernyawa di mana ianya dijadikan sebagai sembahan.Ianya juga dikiaskan kepada lukisan-lukisan yang dilakar makhluk yang bernyawa kerana ianya juga menjadi satu penyembahan seperti mana yang berlaku kepada umat kristian yang melakar Nabi Isa dan para hawariyyun yang mana mereka mempercayai itulah gambaran Nabi Isa dan para hawariyyun Baginda.
Kata al-‘Aini:Melukis gambar makhluk yang bernyawa [mengukir patung]adalah tidak dibenarkan kerana ianya disembah pada zaman Jahiliyyah.Maka tidak dibenarkan walaupun ianya tidak mempunyai bayang dan juga tidak berjisim [merujuk kepada gambar dan lukisan]untuk menutup pintu kerosakan .”Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari[18/162]
Lukisan makhluk bernyawa tersebut jika diletakkan di tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat yang tinggi.Ini berdasarkan peristiwa yang diceritakan oleh Aisyah r.anha:Maksudnya:”Rasulullah pulang dari safar dan aku menutup bilik kecilku dengan sebidang kain yang terdapat padanya gambar-gambar [lukisan-lukisan benda yang  bernyawa].Apabila Rasulullah SAW melihatnya Rasulullah menyentap nya seraya berkata:Sesungguhnya Manusia yang paling dahsyat azabnya pada hari Kiamat adalah mereka yang melakukan sesuatu yang menyerupai makhluk Allah [yang bernyawa].Kata Aisyah:Kami menjadikan kain tersebut sebuah atau dua buah bantal”.Riwayat  al-Bukhari [5498].
Kesemua larangan ini adalah berbentuk sad al-Zari’ah [menutup pintu kerosakan]kerana ditakuti menjadi objek penyembahan yang boleh merosakkan akidah.Adapun jika lukisan itu bertujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti digunakan untuk tujuan pembelajaran,pendidikan atau dakwah maka ianya dibenarkan.Maka lukisan-lukisan yang dilakar dengan tujuan sedemikian tidaklah diharamkan  kerana ianya dibuat bukan kerana dipuja atau disembah akan tetapi ianya adalah satu bentuk pendidikan dan dakwah bagi kanak-kanak khususnya dan ianya dianggap sebagai maslahat yang umum.
Itu sahaja yang abang mahu kongsikan kepada semua.Yang baik datang dari Allah,yang buruk kemungkinan dari saya.Semoga berjumpa lagi,Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


1 comment:

  1. alhamdulillah terbaik. teruskan berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk umat Baginda Nabi sallallahu Alaihi.

    ReplyDelete